About Me

My photo
Assalamualaikum Warahmatullah! Salam Sejahtera! Selamat Datang! Welcome to the blog “to love is to share”. You are set to connect with knowledge informations, articles, jokes, more and more blogs, etc, so for the meanwhile, do enjoy your visit. And if you have to go, don't forget to come back again. Lets we all, exclusively communicate, share, and discover interest for pleasure, funs and own benefits.. *** Sesungguhnya aku menulis bukan kerana nama, tetapi sekadar ingin berkongsi. Dan apa yang baik yang aku fikirkan, mungkin tidak pulak bagi pengunjungku. Oleh itu, aku mohon maaf dan aku tidak bertanggungjawab atas sebarang salah laku maupun sebarang kesulitan yang timbul akibat mengikuti apa yang aku kongsikan. Terima Kasih.. Sanggar Bayu I Say, What You Know Shapes Where You Go..

Sunday, December 15

Dasar Satu Peratus

Salaam guys, read on and enjoy.. thanks. Aku titipkan di sini hanya sebagai maklumat tambahan perihal dasar yang telah lama wujud, iaitu sejak 1988 dan diperbaharui pada 1 April 2008. Antara sedar atau tidak, peluang telah di buka tetapi scenarionya tidak begitu mudah. Dasar tetap jadi dasar, sekarang tinggal untuk melaksanakannya sahaja. Aku ingin melihat komuniti aku mendapat peluang atas dasar ini, bukan untuk bersimpati tetapi atas kelayakan serta kemahiran yang mereka miliki seimbang sama seperti komuniti yang lain, turut memberi sumbangan kepada pembangunan negara yang dicintai. Saban tahun, ada saja dikalangan komuniti aku yang berjaya mendapat segolong ijazah, yang diperolehi bukan atas dasar simpati tetapi turut mengerah mental dan fisikal seperti yang lain, bertungkus lumus siang dan malam sebagai persediaan mengharungi peperiksaan demi peperiksaan hingga ke akhirnya. Keupayaan yang tidak setara seperti yang lain, dilipatgandakan bagi hasrat ingin berjaya seperti yang lain dan mengimpikan satu pekerjaan yang akan menjamin masa depan mereka dan keluarga... Satu peluang.... just give us that one oppurtunity. ------ PELAKSANAAN DASAR SATU PERATUS PELUANG PEKERJAAN DALAM PERKHIDMATAN AWAM KEPADA ORANG KURANG UPAYA TUJUAN 1. Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan menjelaskan prosedur, peranan agensi dan pemantauan pelaksanaan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada Orang Kurang Upaya (OKU). LATAR BELAKANG 2. Dasar memperuntukkan satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU telah dijelaskan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1988 (PP 10/1988). Tujuan pelaksanaan dasar ini ialah untuk membantu OKU yang memiliki kelayakan dan/ atau kemahiran diberi peluang menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam. Walau bagaimanapun, selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan pembangunan modal insan dan menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat penyayang, Kerajaan telah bersetuju supaya pekeliling perkhidmatan berkenaan diperkemaskan dan pengambilan OKU pada kadar sekurang-kurangnya satu peratus dalam perkhidmatan awam tercapai. DEFINISI 3. Bagi tujuan Pekeliling Perkhidmatan ini: “Orang Kurang Upaya (OKU)” berdasarkan Akta Orang Kurang Upaya 2007 termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat; “Ketua Jabatan” bermaksud seseorang pegawai yang mengetuai sesuatu jabatan atau Ketua Perkhidmatan, mengikut mana-mana yang berkenaan; “Pihak Berkuasa Melantik (PBM)” bermaksud pihak berkuasa melantik bagi sesebuah agensi yang diberi kuasa untuk melantik seseorang berkhidmat dengannya. Ini termasuklah Ketua Jabatan atau Ketua Perkhidmatan yang diwakilkan kuasa oleh PBM; “Penyesuaian Munasabah” bermaksud pengubahsuaian dan pelarasan yang perlu dan sesuai tanpa mengenakan bebanan tidak seimbang atau tidak wajar, jika diperlukan dalam hal tertentu, untuk memastikan OKU menikmati atau menjalani kehidupan yang berkualiti dan sejahtera atas asas kesetaraan dengan orang upaya. DASAR PENGAMBILAN 4. Dasar pengambilan satu peratus OKU menetapkan setiap agensi dan Pihak Berkuasa Melantik (PBM) hendaklah membuat pengambilan OKU sekurang-kurangnya satu peratus daripada jumlah pegawai dalam agensi tersebut tertakluk kepada permohonan oleh OKU dan kesesuaian bidang tugas serta kemudahan. PROSEDUR PERMOHONAN JAWATAN 5. OKU boleh memohon terus untuk mengisi jawatan kepada PBM sama ada di peringkat Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan. Bagi tujuan permohonan tersebut, OKU perlu memenuhi syarat-syarat seperti yang dinyatakan dalam skim perkhidmatan yang sedang berkuat kuasa. 6. OKU juga boleh mengemukakan permohonan kepada PBM dengan mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Bagi maksud ini, OKU hendaklah berdaftar dengan JKM. 7. Permohonan jawatan oleh OKU boleh dibuat melalui sistem online, borang permohonan atau kaedah-kaedah lain yang ditetapkan oleh PBM. 8. Sebagai garis panduan kepada agensi dan PBM, kategori ketidakupayaan adalah seperti di Lampiran A tertakluk kepada perubahan yang dibuat oleh JKM dari semasa ke semasa. PROSEDUR PENGAMBILAN 9. Bagi menemu duga OKU, PBM atau agensi (sekiranya diwakilkan kuasa pelantikan), jika perlu boleh melantik panel penemu duga yang salah seorang ahli panel adalah Pegawai Kebajikan Masyarakat atau mana-mana pegawai yang berpengalaman dalam pengurusan OKU. 10. Pelantikan OKU hendaklah mengikut syarat skim perkhidmatan berkenaan. OKU boleh dilantik secara tetap, kontrak atau apa-apa kaedah pelantikan yang berkuat kuasa. PERANAN JKM 11. JKM berperanan: (i) menjalankan usaha-usaha pendaftaran pencari kerja OKU untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam; (ii) menyalurkan maklumat pendaftaran pekerjaan OKU kepada PBM dan agensi berkenaan bagi membantu urusan permohonan jawatan; (iii) mengadakan program secara berkala dengan golongan OKU bagi mendengar dan membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi oleh mereka khususnya dalam bidang pekerjaan; (iv) mewujudkan pendekatan ‘job coaching’ bagi membantu OKU dan agensi dalam membuat penyesuaian kepada persekitaran kerja dan bidang kerja; dan (v) memastikan Ketua Jabatan mengemukakan laporan mengenai bilangan OKU yang berkhidmat di agensi masing-masing setiap enam (6) bulan mengikut format di Lampiran B bagi memantau pelaksanaan dasar pengambilan satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU. PERANAN KETUA JABATAN 12. Ketua Jabatan berperanan : (i) memaklumkan kepada JKM dan PBM mengenai kekosongan jawatan di agensi masing-masing yang sesuai untuk diisi oleh OKU; (ii) melaksanakan program orientasi di tempat kerja bagi membantu OKU menyesuaikan diri kepada persekitaran di tempat kerja dengan mengambil kira keupayaan OKU supaya mereka dapat bekerja dalam keadaan selesa dan produktif. Program ini juga bertujuan mewujudkan hubungan saling memahami antara OKU dengan majikan dan rakan-rakan sekerja agar mereka dapat membantu OKU bekerja secara berterusan di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan; (iii) memastikan OKU mendapat keselesaan dalam menjalankan tugas serta kesesuaian penggunaan kemudahan dengan mengambil tindakan ke arah menyediakan penyesuaian yang munasabah; dan (iv) memastikan laporan yang diperlukan oleh JKM mengenai OKU dikemukakan pada masa yang ditetapkan. PEMANTAUAN 13. Setiap agensi adalah bertanggungjawab memastikan bahawa pengambilan OKU dalam jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dilaksanakan secara berterusan sehingga bilangan mereka yang berkhidmat di agensi berkenaan mencapai sekurang-kurangnya satu peratus. JKM akan memantau pelaksanaan dan pencapaian dasar ini di agensi berkenaan dan perkhidmatan awam keseluruhannya dari semasa ke semasa. TARIKH KUAT KUASA 14. Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan. PEMBATALAN 15. Dengan berkuat kuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, PP 10/1988 adalah dibatalkan. PEMAKAIAN 16. Tertakluk kepada penerimaannya oleh Pihak Berkuasa masing-masing, Pekeliling Perkhidmatan ini terpakai kepada Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan. Walau bagaimanapun, Pihak Berkuasa berkenaan disarankan untuk sama-sama menjayakan dasar ini. “BERKHIDMAT UNTUK NEGARA” (TAN SRI ISMAIL ADAM) Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia JABATAN PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA PUTRAJAYA 1 April 2008 Semua Ketua Setiausaha Kementerian Semua Ketua Jabatan Persekutuan Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Semua Ketua Pihak Berkuasa Berkanun Semua Ketua Pihak Berkuasa Tempatan ------ LAMPIRAN A KATEGORI KETIDAKUPAYAAN Bagi maksud pendaftaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengklasifikasikan Orang Kurang Upaya kepada enam (6) kategori utama ketidakupayaan seperti berikut: BIL KATEGORI PENJELASAN I Kurang Upaya Pendengaran a) Minimum ( Mild ) - (20 - < 30 db). b) Sederhana (Moderate) - (30-< 60 db). c) Teruk ( Severe ) - (60 - < 90 db). d) Sangat Teruk ( Profound ) - (> 90 db). II Kurang Upaya Penglihatan a) Buta (Blind) - Penglihatan kurang daripada 3/60 pada mata yang lebih baik walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan (cermin mata). b) Terhad –(Low Vision / Partially Sighted) - Penglihatan lebih teruk dari 6/18 tapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 dalam mata yang lebih baik penglihatannya walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan (cermin mata). c) Tunnel Vision - Pandangan yang terhad kepada satu arah dan dalam ruangan sehala. III Kurang Upaya Fizikal Kecacatan anggota badan misalnya - Penyakit Polio, Kudung, Muscular Dystrophy, Myopathy, Neuropathy, Osteogenesis Imperfecta, kerdil dll. IV Cerebral Palsy a) Hemiplegia Cerebral Palsy yang melibatkan sebelah bahagian badan. b) Diplegia Cerebral Palsy yang melibatkan kedua-dua belah kaki. c) Quadriplegia Cerebral Palsy yang melibatkan kedua-dua belah tangan dan kaki. V Masalah Pembelajaran Diagnosa perubatan dibawah kategori ini merangkumi : a) Lewat Perkembangan (Global Developmental Delay) (bagi kanak-kanak berumur < 3 tahun). b) Down’s Syndrome. c) Autisma. d) Attention Deficit Hyperactive Disorder. e) Terencat Akal ( Mental Retardation) (bagi kanak-kanak berumur > 3 tahun). f) Masalah pembelajaran spesifik seperti dyslexia, dysgraphia, dyscalculia dll. VI Lain-lain Diagnosa perubatan di bawah kategori ini merangkumi semua masalah kurang upaya yang tidak dinyatakan dalam format.

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comment..

Related Posts with Thumbnails

View this Blog's as well