About Me

My photo
Assalamualaikum Warahmatullah! Salam Sejahtera! Selamat Datang! Welcome to the blog “to love is to share”. You are set to connect with knowledge informations, articles, jokes, more and more blogs, etc, so for the meanwhile, do enjoy your visit. And if you have to go, don't forget to come back again. Lets we all, exclusively communicate, share, and discover interest for pleasure, funs and own benefits.. *** Sesungguhnya aku menulis bukan kerana nama, tetapi sekadar ingin berkongsi. Dan apa yang baik yang aku fikirkan, mungkin tidak pulak bagi pengunjungku. Oleh itu, aku mohon maaf dan aku tidak bertanggungjawab atas sebarang salah laku maupun sebarang kesulitan yang timbul akibat mengikuti apa yang aku kongsikan. Terima Kasih.. Sanggar Bayu I Say, What You Know Shapes Where You Go..

Monday, November 16

Kertas Seminar Kesedaran Tentang Isu Isu Ketidakupayaan - Bahagian Penuh

Sanggar Bayu menulis..


Tajuk KertasKESEDARAN TENTANG ISU ISU KETIDAKUPAYAAN.


1.0 PENGENALAN

Kertas Pembentangan ini disediakan bertujuan untuk berkongsi ilmu dengan pada peserta seminar berhubung KESEDARAN TENTANG ISU-ISU KETIDAKUPAYAAN bersempena dengan penganjuran SEMINAR KE ARAH KEHIDUPAN SEBENAR.


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk membentangkan satu tajuk yang amat sinonim dengan diri saya sendiri khasnya sebagai salah seorang Orang Kurang Upaya (OKU) dan masyarakat kita, amnya.


Jika kita melihat pada tajuk pembentangan ini, skop untuk disampaikan adalah agak umum, tidak tertumpu kepada ketidakupayaan yang khusus. Maka , di dalam Kertas Pembentangan ini, saya akan cuba membawa Saudara/Saudari ke satu skop yang melihat topik ini dari sudut pandangan peribadi saya, iaitu dalam keadaan sebelum dan selepas saya menjadi OKU. Saya berharap apa yang akan saya sampaikan di dalam Kertas Pembentangan ini sedikit sebanyak memberi informasi kepada kita semua mengenai KESEDARAN TENTANG ISU ISU KETIDAKUPAYAAN. Pembentangan ini juga diharap dapat mencapai objektif penganjuran seminar ini terutama kesedaran masyarakat umum terhadap golongan istimewa dan keperluan mereka agar tidak hanya dilihat dari sudut negatif tetapi bersama-sama berusaha serta berikhtiar memberi sokongan dan bantuan yang amat diperlukan oleh OKU untuk mencapai kesejahteraan dalam kehidupan sebenar.


2.0 FOKUS PEMBENTANGAN


Daripada pengalaman saya seperti di atas, fokus utama untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap OKU ialah:-


i. Isu ketidakupayaan dalam Hubungan Manusia dengan Manusia

ii. Isu Ketidakupayaan dalam Hubungan Manusia dengan Alam Persekitaran


Bagi tujuan pembentangan, skop intipati ceramah akan menyentuh mengenai hubungan manusia dengan manusia atau lebih spesifik hubungan masyarakat normal dengan OKU. Melalui hubungan ini, diharapkan satu tahap kesedaran yang tinggi dapat dicapai agar menepati matlamat Seminar iaitu Ke arah Kehidupan Sebenar ( Real Access in Life).


2.1 AKSES KEPADA PENDIDIKAN


Orang kurang upaya tidak boleh dikecualikan daripada sistem pendidikan umum atas asas ketidakupayaan, dan kanak-kanak kurang upaya tidak boleh dikecualikan daripada pendidikan prasekolah, rendah, menengah dan tinggi, atas asas kesetaraan dengan orang atau kanak-kanak upaya, termasuk latihan vokasional dan pembelajaran sepanjang hayat.

Kerajaan dan penyedia pendidikan swasta hendaklah sentiasa peka bagi membolehkan orang dan kanak-kanak kurang upaya melanjutkan pelajaran, menyediakan penyesuaian munasabah yang sesuai dengan keperluan orang dan kanak-kanak kurang upaya dari segi, prasarana, kelengkapan dan bahan pengajaran, kaedah pengajaran, kurikulum dan bentuk sokongan lain yang memenuhi pelbagai keperluan orang atau kanak-kanak kurang upaya.

Kerajaan dan penyedia pendidikan swasta hendaklah mengambil langkah yang sesuai untuk membolehkan orang dan kanak-kanak kurang upaya mempelajari kemahiran hidup dan pembangunan sosial bagi memudahkan penyertaan penuh dan setara mereka dalam pendidikan termasuk yang berikut:


(a) untuk memudahkan pembelajaran Braille, skrip alternatif, kaedah augmentatif dan alternatif, cara dan format komunikasi dan kemahiran orientasi dan mobiliti, dan memudahkan sokongan rakan sebaya dan pementoran; untuk memudahkan pembelajaran Bahasa Isyarat Malaysia dan penggalakan identiti linguistik komuniti orang pekak; dan


(b) untuk memastikan bahawa pendidikan orang dan khususnya kanak-kanak, yang buta, pekak atau pekak-buta disampaikan dalam bahasa, kaedah dan cara komunikasi yang paling sesuai bagi individu, dan dalam persekitaran yang memaksimumkan pembangunan akademik dan sosial.


Sumber rujukan: http://www.parlimen.gov.my/billindex/pdf/DR522007.pdf

(Rang Undang-Undang Orang Kurang Upaya 2007)


2.2 AKSES KEPADA PEKERJAAN


Orang kurang upaya hendaklah mempunyai hak untuk akses kepada pekerjaan atas asas kesetaraan dengan orang upaya. Majikan hendaklah melindungi hak orang kurang upaya, atas asas kesetaraan dengan orang upaya, untuk mendapatkan suasana kerja yang adil dan baik termasuk peluang sama rata dan saraan sama rata bagi kerja yang sama nilai, suasana kerja yang selamat dan sihat, perlindungan daripada gangguan dan memulihkan ketidakpuasan hati.

Dalam melaksanakan kewajipan sosialnya, majikan hendaklah berusaha untuk menggalakkan pekerjaan yang stabil bagi orang kurang upaya dengan menilai keupayaannya dengan sewajarnya, menyediakan tempat pekerjaan yang sesuai dan menjalankan pengurusan pekerjaan yang sesuai.

Menggalakkan pengambilan orang kurang upaya dalam sektor swasta, merumuskan dasar dan langkah yang sesuai yang boleh termasuk program tindakan afirmatif dan langkah lain.

Menggalakkan peluang bagi latihan kepada orang kurang upaya dalam pasaran buruh dan juga peluang untuk bekerja sendiri, keusahawanan, pembangunan koperasi, memulakan perniagaan sendiri dan mewujudkan peluang bekerja dari rumah.


Sumber rujukan:

http://www.parlimen.gov.my/billindex/pdf/DR522007.pdf

(Rang Undang-Undang Orang Kurang Upaya 2007)


2.3 AKSES KEPADA KESIHATAN


Orang kurang upaya hendaklah mempunyai hak untuk menikmati kesihatan atas asas kesetaraan dengan orang upaya. Sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan hendaklah mengambil langkah yang sesuai untuk memastikan orang kurang upaya mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan, termasuk rehabilitasi berkaitan kesihatan, yang peka gender.

Kerajaan dan penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan swasta hendaklah menyediakan perkhidmatan kesihatan yang perlu kepada orang kurang upaya yang hendaklah termasuk yang berikut:

(a) pencegahan daripada berlakunya ketidakupayaan selanjutnya,imunisasi, pemakanan, perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar dan kaunseling genetik; dan

(b) pengesanan awal ketidakupayaan dan intervensi yang tepat pada masanya untuk mencegah ketidakupayaan dan rawatan bagi rehabilitasi.


Dalam mengambil langkah untuk mencegah berlakunya ketidakupayaan selanjutnya, pihak berwajib hendaklah:-

(a) menjalankan atau menyebabkan supaya dijalankan tinjauan, penyiasatan dan penyelidikan berhubung dengan sebab berlakunya ketidakupayaan; dan

(b) menaja atau menyebabkan supaya ditaja kempen kesedaran dan menyebarkan atau menyebabkan supaya disebarkan maklumat mengenai penyebab ketidakupayaan dan langkah pencegahan untuk diterima pakai dan mengenai kebersihan, kesihatan dan sanitasi umum.


Pengadaan personel kesihatan. Mana-mana sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan jagaan institusi bagi orang kurang upaya hendaklah mengambil khidmat jurupulih pertuturan, jurupulih anggota dan jurupulih kerja, atau mana-mana personel kesihatan sebagaimana yang disifatkan perlu oleh Menteri setelah mengambil kira kehendak dan keupayaan institusi swasta itu, kekerapan perkhidmatan dan apa-apa faktor lain yang berkaitan.


Sumber rujukan :

http://www.parlimen.gov.my/billindex/pdf/DR522007.pdf

(Rang Undang-Undang Orang Kurang Upaya 2007)


3.0 RUMUSAN


Daripada pengalaman saya terlibat dengan kemalangan di atas, 3 perkara penting yang menjadi kayu ukur dan perlu ada pada masyarakat supaya tahap KESEDARAN adalah tinggi ialah:

(i) Keperihatinan

(ii) Komited pada Kerja

(iii) Masyarakat Penyayang.


Tahukah anda di dalam Masyarakat umum kita hari ini, terdapat 3 Kumpulan Masyarakat yang perlu diberi perhatian dalam apa jua usaha untuk memberi kesedaran tentang isu isu ketidakupayaan. Kumpulan tersebut:-

3.1 Tiada Kesedaran langsung ( No Awareness at all)

Dalam kumpulan ini, masyarakat umum tidak tahu langsung bagaimana untuk menangani isu isu ketidakupayaan masyarakat OKU.


3.2 Kurang tahap kesedaran

Masyarakat dalam kumpulan ini tahu sedikit tentang OKU tetapi tidak ada tindakan untuk menangani atau memberi bantuan tentang isu isu ketidakupayaan OKU.


3.3 Sedar tetapi kurang Usaha & tiada Ilmu tentang ketidakupayaan

Masyarakat dalam kumpulan ini mempunyai tahap kesedaran yang tinggi terhadap OKU, tetapi kurang berusaha untuk menangani isu isu ketidakupayaan OKU dan kalau ada usaha pun, mereka tiada ilmu pengetahuan tentang ketidakupayaan OKU.


Berdasarkan ketiga-tiga penjelasan di atas, satu soalan yang ingin saya tanya pada anda semua, di dalam kumpulan manakah anda berada?


Dengan berteraskan kepada keperihatinan, komitmen terhadap pekerjaan dan menjadi masyarakat penyayang , saya berharap masyarakat umum yang berada dalam kumpulan yang telah saya gariskan akan berusaha serta berikhtiar untuk mencapai satu tahap kesedaran yang tinggi mengenai isu isu ketidakupayaan berpandu kepada 3 isu yang menjadi skop pembentangan saya pada hari ini.



Keinginan saya untuk melihat satu tahap kesedaran yang tinggi dimiliki oleh masyarakat umum tentang isu isu ketidakupayaan akan membantu dan menjamin Oku mencapai cita cita kehidupan yang sebenar.



4.0 CADANGAN



Bagi membolehkan tahap kesedaran ada dalam masyarakat kita hari ini, usaha untuk mempertingkatkan lagi tahap kesedaran perlu ada melalui program-program seperti berikut:-


4.1 Karnival


Karnival diadakan bersama-sama dengan pihak media elektonik untuk mewar-warkan isu-isu berkaitan ketidakupayaan.(Contoh: Jom Heboh TV3)


4.2 Dokumentari


Dokumentari ditayangkan di tempat-tempat awam seperti kompleks beli belah, pawagam dan lain-lain. Di samping itu, pihak Jabatan Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) boleh menayangkan dokumentari ke kampung-kampung. Usaha ini dibuat secara berterusan untuk menambahkan kesedaran tentang ketidakupayaan.


4.3 Jerayawara (Roadshow)


Jerayawara (Roadshow) ke sekolah-sekolah diadakan kerana pendidikan mengenai kesedaran ini boleh dipupuk dari alam persekolahan.



5.0 PENUTUP



Hendaklah kita ingat bahawa walau apa jua keadaan seseorang individu itu sama ada OKU atau normal, semuanya mempunyai hak yang saksama untuk berusaha memajukan diri dan mengecapi kejayaan. Maka dengan itu saya amat mengharapkan agar ruang yang lebih luas diberikan kepada OKU dalam setiap sudut pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan lain-lain demi mencapai pembangunan serta peningkatan taraf hidup sebenar golongan OKU.


Akhir kata, saya mengharapkan agar masyarakat umum akan mencapai satu tahap kesedaran yang tinggi berhubung isu-isu ketidakupayaan yang melibatkan OKU di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.


Sekian, terima kasih..


Adzohari Bin Haji Jamil.

3 April 2008

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comment..

Related Posts with Thumbnails

View this Blog's as well